Friday 17 April 2015

Jagalah Solat, Jagalah Al-Quran




“Cinta Kami Pada Al Quran”
Lisanku basah oleh Ayat-ayatMu

TelingaKu sejuk dengan Manis Ayat-ayatMU

Hatiku bergetar berderuh mengiring FirmanMU

Mataku tunduk dan berair tersentuh kebesaranMU

Apakah ini yang namanya Cinta pada Al quran Mu

Engkau yang Turunkan Ia dengan sayap memenuhi langit

Tidak bisa baca terus dibaca, sampai dipeluk

Dalam tempat yang gelap menjadi terang

Dengan hati yang gundah kini tampak cahaya

Pertanda risalah Al quran membumi menyatukan hati

Jiwa-jiwa yang sesat dituntun dengan Kebenaran

Jiwa-jiwa yang kerdil disambut uluran Kasih Sayang

Hingga terbukalah pintu yang kasar lagi membeku

Diam—-diam mengagumi walau kabut hitam menyelimuti

Kini wahyumu Al quran dalam pelukan penuh cinta

Cinta kami pada Al quran bukti bakti Kami padaMU

Engkau hidupkan kami sinar Al quran pedoman kami

WajahMu tampak semakin indah janjikan kedamaian

Dikala indera ini berakrab dengan kata-kataMU

Ungkapan cinta pada Al quran bagaikan tetesan air Hujan.

Didengar dan dibaca pesan Mu dalam Al quran

Kebajikan bertambah hatipun semakin tenang

Cinta yang lain bolehlah penuh dusta

Tapi cinta pada Al quran penuh keimanan

Penolong dialam fana berlanjut dialam sana

Cinta kami pada Al quran tak akan pernah surut

Cinta kami pada Al quran akan terjaga

Karena ia pun terjaga oleh Mu

Aku cinta Al quran dan Rindu PadaMu




mungkin selama ini Allah letakkan ana dikelilingi oleh insan-insan yang bagi ana biasa sahaja.. persekitaran yang biasa.. nak dikatakan teruk, tak ! nak dikatakan suasana yang penuh islamik pun tak jugak. biasa sahaja. dikelilingi insan-insan yang masih tahu kewajipan solat dan mengaji. masih pandai solat. masih boleh mengaji. cuma kekadang terikut iman atau nafsu sahaja.

tapi, MasyaAllah... bila amira involve dengan dunia luar. hidup di uni. Ya Allah, jauhnya berbeza.... kekadang diri ini terasa takut sangat.. Allahu... bab solat dan al-quran, memang tak dipandang pun.. ambil sambil lewa je. ramai mana yang boleh kita tengok tak solat. tak baca al-quran. bukan ana nak kata, tapi itulah yang terjadi di dunia luar sekarang.

kekadang students ni senang je. lambat ke kelas, terus tak solat. semudah itu pandangan diorang terhadap solat ni. kalau rajin, solat. kalau malas, tak solat. bukan kaum adam je ni, tapi kaum hawa. masyaAllah. terlalu ramai. mungkin ada sampai sekarang, solat tak pernah cukup. ana tak rasa marah, tapi ana rasa sangat kasihan ! kasihan pada mereka. masih terlalu lalai dengan dunia.

bila kita renungkan, sebab itulah remaja sekarang akhlak mereka semakin luntur dan luntur. semakin punah ! sebab mereka tak menjaga solat. dalam islam dah sebut bahawa, solat itu boleh mencegah dari kemungkaran. dah kalau kita tak sendiri tak pernah ambil berat berkenaan solat, macam mana nak cegah diri kita dari kemungkaran.




Al-quran. masyaAllah.. kita tengok budak-budak kecil darjah 1 dan darjah 2 pun dah start baca al-quran. dah melangkah setapak dari iqra'. Sejuk je kita tengok budak-budak mengaji. tapi apa yang mengejutkan amira, dah umur 19 tahun. tapi masih tergagap-gagap baca al-quran. Astarfirullah. tak boleh nak baca dengan lancar lagi. dan ada jugak yang masih tak tahu baca al-Quran langsung. macam mana kalau nak mengaji al-quran, dah kalau tak pandai. Allahurabbi. 

bila usia dah meningkat, malu nak belajar. Allahu.. ukhti sayang, tak perlu malu nak belajar sayang... malu jika Allah tarik nyawa kita masih dalam keadaan yang tidak pandai mengaji. biar malu sekarang, tapi senang dikemudian hari.

di alam barzakh nanti, tak akan ada sesiapa yang boleh tolong kita di alam barzakh.. orang yang kita sayang gila-gila.. boyfriend or girlfriend kita pun tak boleh nak tolong.. tapi al-Quran yang kita baca boleh tolong kita. tapi macam mana al-Quran nak tolong kalau kita sendiri malas nak baca, jangankan baca. buka al-Quran pun dah malas. Allahurabbi. 

pesanan ana, bagi akhi dan ukhti di luar sana, jagalah solat. jagalah al-Quran. bila kita jaga solat, jaga al-Quran. insyaAllah kehidupan kita akan lebih terjamin dan tenang. walau macam mana pun rintangan dan cubaan yang Allah berikan, kita akan tempuhi dengan tenang je. sebab kita yakin pada Allah.

ingat ! letakkan solat dan al-quran tu di peringkat teratas dalam kehidupan kita. insyaAllah yang lain akan menyusul. akhlak, ibadah akan datang seiring. 

Thursday 2 April 2015

" Tudung Labuh " benteng kemungkaran




Agama Islam amat menitik beratkan soal penutupan aurat bagi setiap umatnya. Media massa hari ini juga sering mengwar-warkan kempen penutupan aurat ini. Terutamanya penutupan aurat bagi kaum Muslimah.

Tetapi apakah kesan daripada itu, adakah ramai mengambil iktibar daripada kempen itu, atau ianya sekadar maklumat tambahan yang harus didengar sahaja tanpa ada sebarang tindak balas terhadapnya? Seperti kata pepatah “umpama mencurahkan air ke daun keladi” Begitulah simboliknya jika maklumat yang disampaikan itu tidak diambil peduli oleh yang mendengar.




Sebagai permulaan bicara, diri ini sebagai seorang remaja kampus, seorang Muslimah yag masih cetek ilmu agamanya yang sedang berusaha memperbaiki diri bagi mengejar redha Ilahi. Meletakkan tanggungjawab mencari ilmu mengatasi perkara yang lain. Mengimpikan diri agar menjadi wanita solehah sebagaimana yang dituntut oleh Sang Pencipta. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita Solehah.” Hadis ini seringkali menjadi motivasi ketika diri diuji indahnya perhiasan duniawi.

Hati rasa sedikit cemburu melihat penampilan rakan-rakan sebaya yang cantik bergaya mengenakan perhiasan tudung seperti selendang atau tudung segera yang berwarna-warni, berbagai bentuk dan beraneka corak mengikut gaya lilitan yang segala bagai dengan mengenakan busana yang moden lagi kontemporari. Ini sudah pasti akan menyerlahkan lagi si pemakainya dan dengan itu mereka akan menjadi tumpuan mata-mata ghairah si arjuna yang dahagakan kecantikan zahiriah wanita semata.

Diri yang lemah imannya ini terus diuji. Minda berputar ligat berimaginasi, bisik hati kecil ini ‘Alangkah bagusnya jika aku berpakaian seperti mereka, sudah pasti aku juga akan kelihatan cantik dan pasti setiap mata arjuna tidak lepas daripada memandang keindahanku, selama ini aku berpakaian umpama membungkus diri yang tidak menampakkan apa-apa bentuk tubuh dan gaya tarikan yang menawan, mustahil untuk lelaki memandang dan mendekatiku.’

Diri ini segera beristighfar tatkala tersedar dari kelalaian mendengar bisikan syaitan itu. Seringkali terasa penampilan diri ini ketinggalan zaman dan tidak mengikuti arus transformasi fesyen terkini, kerana hanya pandai mengenakan tudung labuh yang warnanya tidak terang, serta memakai jubah dan baju kurung yang bercorak biasa sahaja. Alangkah sederhananya penampilan diri ini jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya yang lain.

Hati juga turut terusik melihat rakan-rakan sebilik yang rancak berdandan lama menghiaskan wajah dengan solekan beralaskan bedak, celak dan gincu yang agak tebal di hadapan cermin. Ini sudah pasti akan mengiurkan mata-mata yang memandangnya. Berbanding diri ini yang hanya menghamparkan wajah tanpa secalit solekan dan hanya beralaskan sedikit bedak bagi mengelakkan wajah dari kelihatan pucat dan tidak bermaya kepada rakan-rakan. Masa yang diambil untuk bersiap juga hanya sekejap.

Selain itu, rakan-rakan juga sering mengajak untuk keluar berseronok ke tempat-tempat membeli-belah, tempat keramaian dan sebagainya. Tetapi diri ini menolak dengan cara yang baik. Penolakan ini kerana timbul perasaan rendah diri untuk berada di khalayak ramai di samping rakan-rakan yang berhias cantik bergaya. Berbanding diri yang serba sederhana dalam penampilan. Jika diri ini pergi juga mungkin tidak pandai untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana juga. Lebih baik berehat di rumah sahaja dan menyiapkan tugasan perlu diselesaikan.

Mungkin disebabkan perkara itu mereka tidak senang dengan sikap diri ini yang agak pelik pada pandangan mereka. Pada usia ini, menjadi lumrah setiap remaja untuk mempunyai pasangan kekasih masing-masing. Bagusnya mereka kerana sudah mempunyai teman lelaki yang boleh menumpang kasih. Tetapi diri ini hanya bertemankan keluarga semata, selain Allah dan Rasul yang pertama. Tiada insan bernama lelaki yang boleh memadu kasih, tiada insan istimewa yang sudi memberi kasih. Bagaimana diri ini mahu berkahwin kelak jika tidak mencari pasangan mulai sekarang? Persoalan itu sering terngiang-ngiang di sanubari.

Hal ini juga dapat dirasakan apabila rakan-rakan lelaki seolah-olah menjauhi dan tidak mahu mendekati diri ini, hanya urusan penting sahaja mereka akan datang berurusan. Tetapi diri ini tidak pernah mengambil kisah berkenaan hal itu kerana dalam Islam menuntut kita untuk berkomunikasi dengan lelaki atas dasar kerja dan perkara-perkara penting sahaja. Ini sudah pasti akan dapat menyelamatkanku dari segala fitnah sekiranya diri ini dilihat bersama lelaki ajnabi. Pada hakikatnya, berdasarkan pemerhatianku, memang rakan-rakan lelaki suka bergaul rancak dengan rakan-rakan perempuan lain yang berpenampilan cantik dan tidak pula dengan perempuan yang berpenampilan biasa sepertiku. Kenapa situasi ini terjadi?

Lantaran itu, wujud pelbagai persoalan dalam diri ini. Perasaan sedih dan ingin tahu berpadu menjadi satu. Hati bermonolog sendirian, ‘Apakah kekurangan diri ini yang bisa meletakkan diri di tahap itu.’ Kemusykilan ini telah diluahkan kepada seseorang yang arif yang boleh mendengar perkongsian jiwa dan dapat memberikan nasihat yang membina. Katanya “Usah bersedih, ini semua hikmah di sebalik apa yang kamu pertahankan selama ini.”

Jawapan ringkas ini meyebabkan diri kebingungan, apakah maksud di sebalik kata-kata itu. Tatkala melihat diri seolah tidak mengerti, beliau terus menyambung bicara dan menghuraikan satu persatu bagi setiap yang berlaku supaya jawapannya dapat difahami dengan jelas.



Setelah mendengar penjelasan itu, hati sedikit berbunga. Persoalan sudah pun terjawab. Menurut kata-kata beliau,”Kamu ingin tahu kenapa lelaki tidak mendekati diri kamu?, kerana sebenarnya dia segan untuk mendekati perempuan yang menjaga auratnya, mana mungkin dia dapat bertegur dengan galak sedangkan dia tahu kamu bukan seperti perempuan kebanyakan sebab itulah dia berurusan atas dasar kerja sahaja.

Kemudian kenapa kamu tidak dapat perhatian lelaki?, bukan kerana kamu tidak cantik tetapi disebabkan penampilan menutup aurat kamulah menyebabkan lelaki tidak memandang kamu dengan berlebihan. Kamu risau kerana tidak pandai bersosial, itu adalah sebaiknya kerana Islam melarang wanita keluar dari yang bertujuan untuk perkara yang tidak bermanfaat. Jadi adalah elok bagi kamu berada di rumah dan menyiapkan tugasan kamu.

Selain itu, kamu merasa kamu tidak cantik dan berasa rendah diri kerana penampilan kamu yang agak ketinggalan zaman. Sebenarnya tidak, pemakaian sebeginilah yang dituntut syarak. Dalam hadis ada menyatakan: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan dan amalan-amalan kamu” Biarpun pakaian luaran tidak cantik tetapi pakaian dalaman itu yang harus dicantikkan dahulu kerana Allah menilai hati kamu bukan paras rupa.

Jadi kamu tidak perlu bersusah-payah berusaha mencantikkan diri bagi memancing mata lelaki untuk, tetapi hiasilah diri kamu dengan akhlak yag mulia mengikut acuan A-Quran dan As-Sunnah. Ini sudah pasti dapat membiaskan kecernihan pada wajah kamu secara langsung mejadikan kamu bukan sahaja cantik luaran tetapi dalaman juga.”

Kamu bimbang jika tidak mencari pasangan sekarang kamu tidak akan berkahwin?, jawapannnya tidak. Bukankah kamu yakin dengan janji Allah menerusi firmanNya yang bermaksud:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.”

Jika kamu menjauhi percintaan sebelum kahwin ini juga dapat mengelakkan dirimu daripada berlakunya penzinaan. Bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”

Di sini jelas bahawa Allah telah mengaturkan pasangan yang sesuai bagi setiap umatNya.

Setelah meneliti jawapan yang diberikan oleh beliau, barulah dapat difahami kata-kata beliau sebentar tadi iaitu “Usah bersedih, ini adalah hikmah di sebalik apa yang kamu pertahankan selama ini.” Maksud mempertahankan di sini ialah mempertahankan memakai pakaian menutup aurat, tidak mudah terikut dengan cara pemakaian rakan-rakan yang lain. Jika diri tidak kuat sudah pasti akan diikutkan sahaja gelojak nafsu berbisa itu. Dan hikmahnya ialah diri ini dapat terhindar daripada segala kemungkaran.

Oleh itu, dapatlah diri ini membuat kesimpulan bahawa menerusi pemakaian yang menutup aurat seperti bertudung labuh dan berjubah inilah yang akan menjamin pembentukan sakhsiah diri yang mampu menjadi benteng segala kemungkaran. Pasti ramai yang akan mengatakan pakai tudung labuh dan berjubah pun belum tentu hatinya baik. Tetapi jika wanita yang berpakaian sebegini benar-benar menjaga batas-batas yang digariskan syarak sudah pasti akan menggapai martabat wanita solehah disertai dengan perhiasan akhlak yang indah. Ini kerana dari pemakaian luaranlah yang akan membentuk peribadi akhlak dalaman.

Wahai Muslimah harapan, coretan kisah ini bukan berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa. Tetapi coretan ikhlas sebagai pengetuk minda yang terleka dengan permainan duniawi disamping nasihat yang membina. Tahniah diucapkan kepada Muslimah yang dapat memelihara auratnya, semoga terus istiqomah. Manakala selamat datang pula bagi yang mula menyemai kasih untuk menutup aurat. Ruang untuk kamu berubah masih luas. Bersegeralah meraihnya sebelum nafasmu hilang bicara. Nescaya kamu juga akan menjadi wanita seindah perhiasan yang akan beroleh banyak hikmah yang tidak dapat disangkal darinya.

Gedik Yang Solehah



Pada hari ini, aku melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana aku ingin menghuraikannya? Insya-Allah aku cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka yang berada di sekitarku.




Fenomena ‘berubah menjadi alim’ sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi aku melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Aku hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.
Maaf,  aku cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini aku sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan aku tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga aku yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria’ dan juga berasa sudah cukup alim.
Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan.  Aku sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.
Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Aku tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.
Aku gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Aku tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Aku berjaya mengatasi prasangka buruk. Aku harap tulisan ini dapat membetulkan niat aku dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.
Aku tidak pernah nafikan janji Allah dalam Alquran yang bermaksud;  
“Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik “
(Surah an-Nur ayat 26)
Aku juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.
Apakah semua itu?
Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.
“Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan ‘imam’, dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ‘ gedik yang solehah’.”
Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 
Aku cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.
Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?
Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.
Aku bukan ingin mengatakan aku adalah terbaik, aku pun pernah melakukan kesilapan, aku juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah, aku cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.
“Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Aku menulis bukan juga aku mencemburui sahabat-sahabatku yang lain. Aku akui aku tidak pernah mempunyai teman lelaki, bermesej dengan mereka tanpa bertujuan jauh sekali. Aku mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tersebut kerana aku takut akan berubah hati kepada Allah.
Aku sedar, aku juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara aku menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan aku sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini aku lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.
Mungkin juga ada yang berfikir aku tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku.  
Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah,  taatlah kepada Allah. Jangan lah ‘taat’ kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun.Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.
Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.
Yang pernah melakukan kesilapan, aku berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Aku sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu aku lebih utamakan.
“Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.”
(Surah ali Imran ayat 132)
Aku harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu aku menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 
“siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya.”
Aku terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Aku harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.