Tuesday, 17 June 2014

cerita dari seorang ustaz

Edit Posted by with No comments

hai.. salam satu ummah amira tujukan khas untuk korang semua.. actually amira dapat request daripada sahabat amira.. aina fakhriah.. dia request letak criter best-best.. so.. untuk tidak menghampakan si aina neyh.. amira akan tunaikan permintaannya... sebenarnya dah lamer dah aina ni request.. tapi masa tidak mengizinkan amira nak update... so baru sekarang baru boleh buker blog.. sori aina.. hehehe ~!! semoga terhibur !!!! (^_^)

Agak menarik untuk siapa-siapa yang hendak membahagiakan isterinya. Buat para suami (dan bakal suami, hehe...), baca perbualan ustaz dengan Azman (bukan nama sebenar). Mungkin ada sedikit ibrah untuk kita semua.


"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan November nanti. Harapnya, dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal saya menempuh bahtera rumah tangga nanti,"seorang sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.

"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.

"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.

"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni, susah sikit untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima, sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.

Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.

"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.

"Saya nak membahagiakan isteri saya," jawab beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.

"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati awak. Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan produk.

"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.

"Pertama sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya 'aku terima nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, kucuplah matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat cintakan si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan juga terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menerima awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.

"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti,"galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.

"Lepas tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti. Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan dan mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan satukan imaginasi korang berdua."

"Sekali sekala, adakan surprise untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih berharga."

"Satu lagi, nafkah. Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita. Jangan lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri awak ada kerjaya."

"Seterusnya, jangan lupa, bila awak terpaksa berpisah atau tinggalkan si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu sentiasa menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."

"Lebih penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya. Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang dalam masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.

"Jangan lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan kedekut untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."

"Huih, banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat ni," Azman semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan idea.

"Ye, ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata nanti, cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri dan separuh untuk anak-anak. So, jangan lupa untuk ungkapkan penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga selepas bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia untuk terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses melahirkan bayi. Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.

"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.

"Ok, resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak, hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 9 bulan mengandungkan anak-anak."

"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.

"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.


"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang berdegup, janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok saya jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.

"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.

"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya boleh sambung," nada suara saya mendatar.

"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.

"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.

"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.

"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.

"Belum," ringkas juga jawapan Azman.

"Kucupi dahi ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu yang berkorban 9 bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan bersabung nyawa melahirkan kita. Mengasihi kita tanpa sebarang syarat ataupun mahar mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita kucup sebelum kita kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa bulan."

"Pernah awak berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum, honeymoon dulu dengan ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk melihat bahagianya bulan madu kita bersama isteri dengan melupakan jasa ibu yang pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan kita. Bahagianya honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di desa sana."

"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu yang sepanjang hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum diungkapkan, segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri yang sudi menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima ucapan itu."

"Pernah surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum, surprisekan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga. Ibu itu pastinya sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."

"Sewaktu kita mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah dan belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah membesarkan kita tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang kita akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi ianya menjadi tanda yang kita juga masih mengingati malah menyayangi mereka."

"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu menatap potret awak yang digantung atau yang terselit di celah dompet. Hubungilah ibu awak sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak sampai kepada mak yang jauh di kampung."

"Man, kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu untuk memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati yang akan terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."

Gelak ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang kini berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.

"Saya tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi, saya yakin dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia. Ummat ini akan lebih berbahagia."

"Saya yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim (keluarga Islam) tidak akan sempurna tanpa sempurnanya Individu Muslim. Bagitulah juga, Masyarakat Muslim tidak akan lahir dari Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah yang awak lalui telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal lagi, Allah akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik. Adikku Azman, inilah jalannya."

"Go home and love your family."

Jawapan Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1979.

"Sebaik-baik kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku."
- Hadis

Pastikan perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa. Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.

Mulailah dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung khilafah akan menaungi kita kelak.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri."
- Al-Quran

0 comments:

Post a Comment