Friday 1 March 2013

SiTi KhaDiJaH biNti KhUwAiLiD..





As-Salam.
Bagi umat Islam, siapa yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi dan dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w.

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir'aun" (H.R Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim) 

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Khadijah merupakan wanita yang satu-satunya mendapat 'salam' daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s. Khadijah r.a bukan hanya berperanan sebagai seorang isteri malah seorang sahabat kepada Rasulullah s.a.w di mana beliau telah mendapat tempat yang khusus di sisi Allah SWT.

Kehebatan Khadijah bukan bermula apabila menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w tetapi sebelum itu lagi. Ketahuilah bahawa terdapat empat gelaran yang disandang oleh Sayyidah Khadijah r.a. Dua gelaran yang disandangnya sebelum menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w dan dua lagi disandangya setelah menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w.

1. At Tohirah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan seorang yang suci dan yang menjaga maruahnya dan kehormatannya. Zaman jahiliah pada ketika itu tidak ada nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam masyarakat kecuali sedikit sahaja dan penzinaan bermaharajalela ketika itu. Beliau sangat suci dan menjaga maruah serta berbeza dengan wanita di zamannya, tidak mudah bergaul dengan mana-mana lelaki manapun malah para lelaki sangat menghormatinya. Belia mempunyai budi pekerti luhur beserta akhlak yang mulia.

2. Sayyidah An Nisa i Quraisy
Sayyidah Khadijah r.a. juga dikenali sebagai Penghulu kepada kaum wanita Quraisy yang paling termulia dikalangan wanita Quraisy yang mulia yang masih berpegang kepada nilai-nilai murni. Sayyidah Khadijah r.a tidak pernah menghampakan sesiapa yang mengetuk pintu rumahnya untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada beliau. Sifat pemurah Khadijah menenangkan sesiapa yang memerlukan bantuan.

3. Ummul Mukminin
Sayyidah khadijah r.a menyandang gelaran Ummul Mukminin iaitu Ibu kepada seluruh kaum mukminin selepas beliau menjadi isteri kepada Rasulullah s.a.w. Beliau adalah insan pertama yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Muhammad s.a.w merupakan dan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

4. Sayyidah Nisa' Ahlul Jannah
Sayyidah Khadijah r.a merupakan penghulu kepada kaum wanita di syurga. Beliau bukan sahaja seorang wanita yang solehah tetapi lebih daripada itu. Wanita yang disebut oleh Allah SWT telah mendapat keselamatan dan keamanan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Satu-satunya wanita yang mendapat salam dari Allah SWT dan sudah terjamin mendapat nikmat syurga. 

No comments:

Post a Comment