Tuesday, 8 July 2014

kisah gadis cina ~

Edit Posted by MissShyShy with No comments

salam ramadhan al-mubarak pembaca sekalian.. hope still tak terlambat lagi untuk amira ucapkan selamat menyambut dan menjalani ibadah puasa.. amira harap tekdelah pembaca blog amira nie curi-curi makan yerk.. lain lah tttuuuttt (girls only).. huhuhuu~~ (^_^) semoga ramadhan kali ni lebih baik dari yang sebelumnya dan menjadi titik permulaan untuk kita semua berhijrah kepada yang lebih baik... tahun nie amira agak sedih sebab tak dapat menjalani ibadah puasa dengan family... sob,sob,sob.. but kat sini amira ader sahabat seperjuangan yang selaku pengganti family.. amira ade roomate yang awesome... najwa,, alia,, dan atiqah.. mencari pengalaman berpuasa dengan mereka semua.... bila lagi kan nak belajar hidup berjauhan kalau bukan sekarang.. hehehe... untuk entry kali ni.. amira nak kongsikan apa yang amira baca di blog ustazah fatimah syarha berkenaan kisah gadis cina.. jom baca !!!


Remaja Diterjah Badai

                Seorang gadis remaja berbangsa Cina baru kembali ke fitrahnya, Islam. Dia bersemangat. Berani. Aktif. Bijak. Bahkan cantik. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menjadi seorang pendakwah. Dalam usia remaja, dia sudah duduk sebaris dengan penceramah-penceramah agama yang hebat.
Kali pertama saya mendengar ceramahnya, saya berbangga dengan kehadiran mawar agama ini ke arena dakwah. Saya mengaguminya dari jauh. Itulah potensi jiwa muda. Penuh aspirasi dan cita-cita. Usahlah ditanya siapa dirinya. Yang penting, kita mengambil iktibar daripada kisahnya. Anggaplah kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa.
Bukan mudah baginya melalui detik-detik dibenci keluarga, ditinggalkan kawan-kawan dan dimusuhi sanak-saudara. Semua diharunginya dengan tabah. Namun, apabila ujian bertsunami datang daripada orang Islam sendiri, dia hampir tersungkur rebah.
Gadis remaja ini kembali minum arak. Beberapa kali dia cuba mencabut nyawa sendiri. Mujurlah masih berbaki kewarasan diri. Buat masa ini, dia memilih menjadi pengunjung tetap pakar psikitari. Islamnya masih bersisa di hati. Ya Allah, kasihanilah dia! Apa yang dia lalui?

Cukup-cukuplah Melabel!

                “Tak boleh tudung-tudung berfesyen ala-ala Hana Tajima ni,” tegur seorang ustazah.
                “Tapi ia menutup leher, dada, dan rambut. Saya remaja. Saya sukakan fesyen,” kata si gadis Cina.
                “Fesyen itu tabarruj. Ianya haram,” tegas si ustazah.
                “Ustazah, apa maksud tabarruj?”
                “Awak ni sungguh-sungguh tak masuk Islam? Jangan banyak tanya. Ikut saja. Fasiq nanti.”
Gadis ini sejak awal masuk Islam tertekan dengan sikap segelintir Muslim yang sangat menghukum dan memaksa dalam isu-isu feqah. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan soal wanita. Apa yang dibuatnya selalu dipandang serong. Dikritik bukan dididik.
Mana keindahan toleransi dalam Islam?
Mana roh kemudahan?
Islam menghalang kebebasan memilih sesuatu yang masih dalam batasan syarak?
Padahal isu-isu fiqah ini banyak perbezaan pendapatnya. Ianya suatu rahmat. Misalnya maksud ‘tabarruj’ ini, ada pelbagai definisi oleh para ulama. Ada yang berkata, membuka leher dan tempat anting-anting. Pendapat lain mengatakan ia suatu perbuatan berjalan melenggang-lenggok. Pendapat lain, membuka aurat.
Di sini, Allah benarkan kita berbeza. Semuanya dalam daerah pahala. Samada satu atau dua pahala. Melayani perkara khilaf seperti ia bukan khilaf adalah suatu sikap yang tidak adil atau zalim.
Adakah gadis ini ber’tabarruj’ jika kita merujuk pendapat ulama-ulama di atas?
Baik lelaki mahupun sebahagian wanita sendiri, jika mereka ini tidak meletakkan persepsi yang benar terhadap peranan wanita, mereka cenderung suka menghina, menghukum dan melabel.
Sudahkah kita membaca berkaitan tudung cantik sebahagian sahabiah sendiri sebelum menganggap wanita tidak berhak berfesyen?
Sudahkah kita merujuk sirah sebelum menganggap wanita itu pentasnya hanya di rumah?
Sudahkah kita mengenali Khadijah, Zainab binti Jahsy, dan Asma’ binti Abu Bakar sebelum menganggap wanita tidak layak berkerjaya?
Sudahkah kita meneliti sikap para sahabat sebelum menghalang isteri ke masjid dan ke pengajian agama?
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam pengantarnya terhadap buku Jati Diri Wanita Menurut al-Quran dan Hadis, karya Dr. Ali Shariati berkata, “Mereka mengurung wanita di dalam rumah. Tidak dibenarkan keluar dengan alasan apapun, termasuk untuk belajar dan berkerja. Wanita dianggap tidak layak dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat bagi masyarakat dan diri sendiri. Sehingga sebahagian mereka beranggapan bahawa wanita solehah itu wanita yang tidak pernah keluar rumah kecuali dua  kali, iaitu keluar dari rumah orang tuanya menuju ke rumah suaminya, dan dari rumah suaminya menuju ke kuburnya. Padahal al-Quran menganggap pengurungan di dalam rumah ini sebagai seksaan bagi wanita sebagai mana dalam surah an-Nisa’, ayat 15.”

Allah Ciptakan Wanita Hanya Untuk Menjadi Simbol Seks?

Dalam sesetengah pengajian, gadis Cina ini melihat wanita sering dipersalahkan. Dianggap menyusahkan. Digelar si tulang bengkok. Hanya layak disebut perangkap syaitan dan simbol seks yang serba terkongkong. Terpenjara daripada tugas-tugas kemasyarakatan. Hanya tentang ‘itu’kah wanita tercipta?
Dia terfikir, patutlah golongan kristianisasi dan missionari sering menjadikan topik wanita sebagai senjata utama untuk menimbulkan ketakutan terhadap Islam di Barat. Bahkan menyucuk rasa benci para muslimah di dunia ini terhadap agama sendiri.
Mungkin muslimah yang terpengaruh dengan dakyah mereka ini tidak menyatakan dengan perkataan tapi mereka tonjolkan melalui tindakan. Mereka merasakan dekat dengan ajaran agama itu suatu yang terlalu membebankan.
“Orang perempuan ni bodoh. Kurang akal dan agama! Bila menikah dengan dia, kita sebenarnya tambah masalah. Nabi dah kata perempuan ni si tulang bengkok,” kata seorang penceramah agama.
Gadis remaja yang dahagakan ilmu ini tersedak. Semakin belajar soal wanita, semakin benci hatinya kepada Islam. Dia tertanya-tanya, ini Islam atau silap tafsiran? 

Nabi Sempurna, Kita Tidak

Mana mungkin Nabi kita yang terkenal sebagai pembela wanita seluruh alam, akan menghina wanita sebegini rupa. Nabi bermaksud lain. Sering ditafsirkan dengan maksud yang lain. Nabi menjelaskan dan menghiburkan wanita dengan hadis-hadis berkaitan soal ini. Tapi bila berpindah ke lisan sesetengah Muslim, maksudnya bertukar menjadi penghinaan dan sesuatu yang menyakitkan. Islam yang mulia lalu difitnah mendiskriminasikan wanita.
Penceramah agama tidak sempurna. Kadang-kala ilmunya terbatas untuk menerangkan secara tepat kerana bidang wanita bukan bidang kajiannya. Jangan tadahkan telinga hanya pada satu pengajian. Luaskan ufuk minda daripada ramai guru dan banyakkan bacaan. Minda akan lebih celik. Fikiran akan lebih terbuka. Hati akan lebih faham menilai.
Menjadi peranan kita untuk mendapatkan tafsiran terhadap hadis-hadis berkenaan wanita daripada sumber yang sahih, berautoriti, dan tepat. Inilah sikap yang benar bagi ummat yang sentiasa berbaik sangka terhadap Nabinya. Bacalah karya para alim ulama besar dunia seperti al-Qaradhawi, Imam Ghazali, Abdul Halim Abu Syuqqah, dan ramai lagi berkenaan wanita. Kita akan tersenyum bahagia.

Disuruh Menikah 

                Gadis Cina ini dibawa ke Siam oleh Muslim-muslim yang dipercayainya. Di sana, dia diminta menikah dengan lelaki yang baru beberapa saat dia kenal. Dia keliru, tiadakah proses merisik dan bertunang dalam Islam? Bagaimana Islam meraikan suara anak gadis dalam soal ini?
                Sebelum bernikah, dia disiapkan minda bahawa suaminya berhak untuk berpoligami bila-bila masa sahaja yang diinginkan. Beginikah Islam meletakkan kedudukan poligami? Bukankah ia hanya ‘rukhsah’ bila keadaan memerlukan?
Jiwa gadis Cina ini dahsyat dipukul tanda-tanya. Islam tidak fikir soal ‘sakinah’seorang isteri? Islam suatu ajaran yang bertentangan dengan fitrah cinta yang perlukan setia? Islam tidak bersikap manusiawi terhadap perasaan isteri? Tiadakah konsep syura dan saling meredhai dalam institusi kekeluargaan Islam? Ah, ini Islam atau silap tafsiran? Gadis Cina ini hebat berperang dengan gelodak curiga.

Terpujuk dengan Majalah Solusi

                Gadis Cina ini mencari-cari info tentang poligami daripada youtube ceramah. Dia berharap ilmu dapat memberikan cahaya untuk hatinya meletakkan ‘sudut pandang’ yang betul terhadap sesuatu isu sepertimana yang Islam kehendaki.
                “Isteri ni macam seliparlah. Yang lama kita tinggalkan di tangga. Yang baru kita bawa masuk ke dalam rumah. Ataupun begini. Yang lama, kita bagi Mercedes. Yang baru kita bagi Viva. Mercedes untuk disimpan di rumah. Viva untuk dibawa berjalan-jalan,” terang seorang penceramah dalam youtube.
                Setitis demi setitis air mata berguguran di pipi gadis Cina ini. Beginikah Islam melayan wanita? Ini Islam atau silap tafsiran? Bukankah Nabi melayan isterinya secara adil? Membuat undian sebelum berpergian? Mungkin ustaz ini cuma bergurau. Gadis ini cuba berbaik sangka terhadap ustaz yang disayanginya itu. Tapi jiwanya tetap pedih terhiris. Dia sedikit terpujuk membaca sirah Nabi. Gurauan baginda sentiasa menggembirakan, bukan mencincang perasaan orang.
                Gadis Cina ini kemudiannya membeli Majalah Solusi berkait isu Misteri Poligami. Hatinya sedikit terpujuk apabila melihat hukum-hukum sebenar poligami dalam Islam. Asalnya harus, boleh bertukar sunat, makruh dan haram. Bukan boleh diambil mudah. Syaratnya ketat dan payah. Bahkan, diterangkan monogami Nabi jauh lebih sunnah, selama 25 tahun lamanya. Poligami cuma 10 tahun.

Lebih Bahagia Menjadi Umat Pertengahan

                Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa  keadaan umat Islam dewasa ini umumnya menempati posisi ekstrimis dan apatisme, padahal kita sering membaca firman Allah untuk menjadi umat yang pertengahan.
                Kata beliau, “Masih ada yang menganggap wanita sebagai makhluk yang hanya memiliki sedikit kecekapan. Bagi lelaki, ia adalah hamba seperti alat untuk memuaskan dahaga seksual bila lelaki mengkehendakinya. Kemudian, kehormatannya dapat dimiliki dengan memberi sejumlah harta, dan dapat ditalak bila-bila masa saja dikehendaki tanpa ada hak sedikitpun untuk mengelak dan mendapatkan ganti rugi. Sehingga sebahagian mereka menganggap wanita bagaikan sepatu yang dapat dipakai dan dibuang bila tidak diperlukan lagi.”
                Saya percaya, di Malaysia ramai lelaki yang meletakkan persepsi terhadap wanita di tempatnya yang wajar. Malang bagi gadis Cina ini, dia belum menemui golongan lelaki-lelaki sejati ini sebagai pembimbingnya. Bahkan menemui golongan seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Suami Mengabaikan Nafkah

                Gadis remaja ini teruji lagi. Dia mendapat info bahawa wanita dilarang keluar rumah. Suamilah yang wajib mengajarnya agama. Realitinya, ramai suami pada hari ini bukanlah beragama sangat. Jika beragamapun, sibuk 24 jam. Apabila wanita dilarang keluar rumah untuk belajar agama, bukankah ia hanya menghantar wanita ke alam kebodohan?
Tidak cukup dengan itu, suaminya culas nafkah. Hidup menganggur dan malas berkerja. Dia cuba bersabar. Tekanan hidupnya memuncak. Setiap hari bertengkar, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan.
Gadis itu tekad mahukan perceraian. Dia tahu sepatutnya perceraian itu menjadi jalan terakhir. Dia sudah berusaha menyelamatkan pernikahannya. Namun, rumah tangganya terus-terusan lebih mengumpul dosa daripada pahala. Setiap hari, kebenciaan kepada suaminya semakin membesar.
Semua Muslim yang dikenalinya berpesan, “Jangan minta cerai! Nanti tak bau syurga.”
“Kalau bercerai tu semuanya buruk, kenapa Islam halalkan perceraian?” protes gadis ini.
“Ia hak lelaki. Isteri kena sabar saja,” pesan mereka lagi.
                Gadis ini merasakan Islam tidak memahami. Ini Islam atau silap tafsiran?
“Islam jahat!” Tempik batinnya sambil mencabut tudung. Dia keluar rumah dengan tidak menutup aurat. Air matanya berjuraian. Dia geram terhadap Muslim tapi dia memilih untuk menghukum ‘Islam’. Dia rindukan araknya sebagai penenang jiwa. Bahkan, tali penggantung nyawa sering muncul di minda.
Profesor Syeikh al-Qaradhawi menerangkan, “Ada golongan yang menganggap, apabila wanita yang telah diperisterikan oleh seorang lelaki yang tidak dicintainya, dan dia tidak mampu mencegah kemarahan suaminya atau tidak mampu menghindarinya, maka tiada pilihan lain, harus bersabar dengan kesakitannya. Harungilah kehidupan yang pahit sehingga suaminya menjatuhkan talak ke atasnya atau talaq khuluk (membayar mahar suaminya kembali). Bila kedua perkara ini tidak terjadi maka tiada jalan lain baginya untuk melepaskan diri dari tali perhambaan itu.”
Ini tidak benar!
Islam memanglah mengecilkan skop talaq. Tapi bukan dengan cara menyekat hak seorang isteri yang teraniaya dengan sikap suaminya untuk dibebaskan. Talaq cuba dikecilkan dalam Islam dengan beberapa cara:
1.        Mengajar umatnya cara membuat pemilihan calon terbaik sebelum bernikah.
2.       Melihat wanita yang dipinang sebelum akad samada lihat berdepan, hantar wakil atau mengintai dari jauh.
3.       Meminta wali menikahkan puterinya bukan dengan sembarangan orang tapi dengan calon yang diredhai agama dan akhlaknya.
4.       Mensyaratkan keredhaan wanita untuk berkahwin dengan orang yang meminangnya.
5.       Menjadikan keredhaan wali serta persepakatannya sebagai perkara wajib atau sunat agar perkahwinan itu tidak mendapat tentangan keluarga.
6.       Mengarahkan bermesyuarat dengan para ibu dalam persoalan perkahwinan anak-anak perempuan.
7.       Mewajibkan agar bergaul dengan harmoni, menjelaskan hak dan kewajipan antara suami isteri, menyemaikan keimanan agar beriltizam dengan batas-batas syarak dan bertaqwa kepada Allah.
8.       Menganjurkan agar suami dapat menerima realiti agar ia tidak terlalu berharap kesempurnaan pada isterinya. Begitulah sebaliknya.
9.       Menyeru para suami agar menggunakan akal dan kemaslahatan jika dia merasa tidak senang terhadap isterinya seperti dalam surah an-Nisa’, ayat 19.
10.   Mengarahkan para suami agar mengubati isteri yang derhaka dan melakukan maksiat dengan cara yang hikmah  dan beransur-ansur, tidak terlalu keras,dan tidak terlalu lembut sebagai mana surah al-Nisa’. Ayat 34.
11.   Mengarahkan masyarakat agar campur tangan ketika berlaku persengketaan antara suami isteri dengan membentuk ‘majlis keluarga’ dari kalangan orang yang dipercayai.

Doakan Dia.

Gadis cantik yang dulunya manis berbaju labuh dan bertudung ala-ala Hana Tajima, kini termenung murung di bilik pakar Psikitari. Masalah fahamnya terhadap Islam dan Muslim belum selesai. Perlukan masa. Mari berdoa untuknya. Mari lakukan sesuatu agar ‘diri kita’ lebih jernih kefahaman dan tidak menyumbang fitnah kepada agama kita sendiri.

semoga kisah ini dapat memberi sedikit pengajaran untuk kita semua ^^

selamat berbuka puasa semua (^_^)

0 comments:

Post a Comment