Thursday 3 October 2013

PaLeStiN yAnG diCiNTai...

Assalamualaikum dan salam 1 ummah amira ucapkan.... ahlan wasahlan wamarhaban bikum ~ 
dah baca kan tittle untuk entry kali ni.. hari ni amira nk berkongsi sedikit pasal bumi palestin yang semua dah sedia maklum sekarang apa yang berlaku di negara islam disana..jadi,, ape tnggu lagi? jom baca !! semoga mendapat manfaat ya ! 


Gaza diserang bertubi-tubi oleh Israel laknatullah, peluru-peluru berpandu mereka dilepaskan tanpa mengenal erti kemanusiaan, baik kanak-kanak atau wanita mahupun warga emas semua menjadi mangsa kerakusan si durjana, seolah mereka berkuasa mutlak atas muka bumi ini, lupakah mereka yang Allah SWT lebih berkuasa daripada mereka, lupakah mereka, betapa ramainya para nabi diturunkan dalam kalangan mereka agar mereka berubah? Tetapi mereka tetap sombong serta angkuh mengaku mereka kaum termulia, selain kaum mereka hanya bertaraf binatang yang halal darahnya.
Lihat sahaja surah Al-Baqarah, Allah SWT mengkisahkan tentang kaum Yahudi, bagaimana banyaknya nikmat yang diberikan kepada mereka, tetapi mereka tetap kufur. Malah menafikan kerasulan nabi Muhammad SAW, kerana baginda bukan daripada bangsa mereka.
Hati terasa panas mendengar berita-berita tentang serangan yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap saudara seiman. Mereka menyerang saudara-saudara kita melalui udara dan laut tidak melalui darat kerana mereka adalah pengejut, takut untuk bertentang senjata  dengan tentera muslim, kerana Allah SWT sentiasa membantu tenteranya sehingga membuatkan musuh Allah menjadi gentar dan takut dalam berjuang. Hal ini dinukilkan dalam Al-Quran:
“Ketika tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat, “sesungguhnya aku bersama kamu, maka teguhlah (pendirian) orang-orang yang beriman”, kelak akan aku berikan rasa takut ke dalam hati orang-orang kafir, maka pukullah di atas leher mereka dan pukullah pada tiap-tiap jari mereka.”  (Al-Anfal:12)
Palestin Yang Tidak Akan Luput
Walaupun Israel menguasai hampir keseluruhan bumi Palestin, mereka mengambil daripada umat Islam secara kasar, mereka penceroboh yang tidak pernah diadili di mahkamah dunia yang kononnya adil.  Tetapi Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada umat Islam malah Rasulullah SAW ada bersabda:
“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.(Hadis Riwayat Bukhari)
Umat Islam sentiasa berjuang di Palestin sehingga membebaskan negeri ini daripada perakus-perakus sehinggalah akhir zaman. Hadis lain juga Rasulullah SAW menyebutkan:
“Penduduk Gharb (yang berada di arah Barat) akan senantiasa menegakkan kebenaran sehingga Kiamat datang”. (HR Muslim 13/68, Nawawi).
Imam Ahmad berkata,”yang dimaksudkan dengan Ahli Gharb adalah penduduk Syam.” Dan jawaban ini disepakati oleh Ibnu Taimiyah serta ulamak-ulamak yang lain  (Manaqibisy-Syam wa Ahlihi, halaman 76-77).
Maka kita sentiasa meyakini Palestin tetap akan menjadi milik kita walaupun pelbagai ujian menimpa, kerana keyakinan kita terhadap janji Allah SWT tentang perkara ini. Malah umat Islam di seluruh dunia akan bersatu-padu dalam menyelesaikan permasalahan ini kerana Allah SWT mengambarkan bahawa orang mukmin sesama mereka adalah pembantu antara satu sama lain.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain” (At-Taubah:71)
Palestin Yang Dicintai
Kecintaan kita terhadap tanah yang diberkati Allah SWT dan tempat penuh bersejarah bagi umat Islam, apabila Nabi SAW melakukan isra’ di sini, sehingga Allah nukilkan perkara ini dalam Kitab Suci:
“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) kami, Sesungguhnya Dia maha mendengar, maha mellihat.” (Al-Isra’:1)
Tidak akan pernah padam, dan akan terus dinyalakan sehingga kita balik bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah redha dengan kita. Kecintaan kita ini bukanlah bermusim tetapi sentiasa berbunga.
Mereka saudara kita yang dibina atas keimanan. Dan Rasulullah SAW bersabda tentang ukhuwah orang-orang beriman,
Daripada Nu’man Bin Bashir RA: Rasulullah SAW bersabda: “Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabilah satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.” (Hadis Riwayat Syaikhan)
Sekiranya orang-orang kafir yang menyokong perjuangan Palestin mempunyai perasaan terhadap sahabat-sahabat kita, kenapa tidak kita yang merasainya, kita yang sepatutnya lebih merasai kesusahan mereka.
Tugas Kita Wahai Orang Beriman:
Pada asalnya apabila sesebuah negara Islam dijajah, maka hukum untuk keluar berjihad menjadi wajib aini bagi negara tersebut untuk membebaskannya, sekiranya negara tersebut tidak mampu, maka hukumnya beralih ke negara yang bersebelahan dengan negara tersebut.
Imam Al-Qurtubi berkata: Boleh jadi sesuatu keadaan itu jihad menjadi wajib untuk semua pihak, sekiranya musuh menakluki negara islam atau sedang bergerak menuju ke negara Islam untuk menyerang, maka wajib bagi semua penduduk di negara tersebut keluar berjihad baik pemuda atau pun warga emas, semua atas  kemampuan masing-masing, sekiranya warga negara tersebut lemah dalam menghadapi tentangan tersebut, maka hukum wajib berpindah ke negara yang berdekatan dengannya sehinggalah negara tersebut dibebaskan. (Al-Jami’ liAhkamil Qur’an oleh Al-Qurtubi 8/150)
Pada zaman ini, kebanyakkan negara umat islam berkondusi lemah dalam banyak sudut baik ekonomi, politik, sosial, pendidikan, ketenteraan dan lain-lain sudut, sehingga negara-negara islam tidak mampu membantu negara Palestin yang dijajah. Dan sebagai mukmin yang sedar akan tanggungjawab ini kita menjalankan tanggungjawab sekadar yang mampu. Sekadar cadangan daripada saya:
1. Sebarkan kefahaman kepada masyarakat tentang permasalahan Palestin. Permasalahan ini perlu diketahui oleh semua lapisan masyarakat agar masyarakat kita mempunyai kesedaran untuk memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalahan ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak mengambil peduli urusan orang mukmin, maka ia bukan sebahagian daripada mereka” (Akhrajahu Ibn Hibban dan Al-Hakim, Hadis ini didhoifkan oleh Imam Az-Zahabi dan Imam al-Albani)
2. Sentiasa mendoakan saudara seakidah kita di sana agar diberi kekuatan dan kemenangan buat mereka kerana doa adalah senjata orang mukmin, Doa yang tidak putus-putus untuk kita panjatkan pada Allah SWT. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna mengatakan kekuatan kita terletak pada tiga perkara iaitu kekuatan iman, ukhuwah dan badaniah. Maka kita gunakan kekuatan iman dan ukhuwah kita dalam doa kita agar Allah azza wa jalla membantu mereka.
Sekiranya berlaku serangan besar-besaran terhadap saudara kita, maka bacalah qunut nazilah pada setiap solah kita. Sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW apabila beberapa orang sahabat RA dibunuh oleh orang musyrikin di Bi’r Ma’unah.
3. Boikot barang-barang yang jelas keuntungannya digunakan untuk membantu Israel dalam membunuh rakyat Palestin. Mungkin ada sebahagian pihak mengatakan bahawa boikot ini tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi Israel, tetapi sebenarnya memberi kesan yang besar terhadap ekonomi Israel. Antara syarikat yang pernah terkesan akibat pemboikotan ini ialah Supermarket Sainsburry di Mesir ditutup, penerbangan American Airlines ke tel Aviv bermasalah, penerbanagn Trans World America  muflis serta kempen memboikot produk Amerika di negara-negara Arab mengakibatkan kerugian sebanyak 40%.
4. Menderma kepada rakyat Palestin yang berada di Gaza melalui mana-mana NGO yang berdaftar. Sumbangan ini amat penting bagi menggerakkan sosio-ekonomi rakyat Palestin di Gaza serta memulihkan infrastruktur-infrstruktur yang musnah akibat serangan Israel.
Sumbangan tersebut juga amat penting bagi memastikan rakyat yang tercedera dalam serangan mendapat bantuan perubatan dan ubat-ubatan yang mencukupi.
Penutup:
Api kecintaan kepada tanah Palestin mesti sentiasa dihidupkan, jangan biarkan ia bermusim, tetapi berbunga sepanjang kehidupan kita. Didiklah masyarakat kita, bentuklah anak-anak di rumah untuk sentiasa mencintai saudara-saudara seaqidah yang sentiasa berjuang membebaskan tanah air mereka.
Moga Allah SWT memasukkan kita dalam golongan yang Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran:
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, Dan di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu (apa yang telah Allah janjikan) mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)” (Al-Ahzab:23)
Wallahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment