Thursday, 20 December 2012

SuNgGuH mErDu SuArA mU saYanG...

Edit Posted by with No comments

Atikah sudah bersiap-siap. Gincu berwarna merah muda dicalitkan di bibirnya yang mulus itu. Dia merenung sekilas ke arah cermin yang berada di sisinya. Dia tersenyum puas. Puas kerana penampilannya pada hari itu sudah cukup sempurna pada pandangannya. Rambut yang telah siap didandan di salon pagi tadi dibetulkan sedikit. Parasnya yang sudah sememangnya cantik itu semakin berseri apabila dia menggayakan baju kebaya moden yang baru saja ditempahnya beberapa hari yang lalu.

Hari ini, dia akan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampung. Lagu nyanyian Saloma yang berkumandang di radio segera menarik perhatiannya. Dia turut menyanyi mengikut rentak lagu tersebut. Atikah memang suka menyanyi. Sebut saja nama Atikah di kampung, pasti suaranya yang merdu dan menawan itu akan terngiang-ngiang di telinga para teruna yang telah terdengar akan suara itu. Suara yang mendapat sambutan hangat setiap kali ia "dijual". Tidak ubah seperti pisang goreng yang dijual di gerai-gerai di tepi jalan. Begitulah "lakunya" suara Atikah yang turut menjadi igauan gadis-gadis sebayanya di kampung.

*******************************************************************


Kehadiran Atikah segera menarik perhatian setiap mata yang tadinya tertumpu kepada bakal"raja sehari". Atikah tampak lebih cantik daripadanya kakaknya sendiri. Tempat pengantin perempuan pada hari itu sudah selayaknya dia gantikan sahaja. Dia begitu cantik. Ditambah pula dengan suaranya yang memikat kalbu. Tidak ubah bagai bidadari yang turun dari kayangan. Begitu mempesonakan.

Perhatian kini tertumpu sepenuhnya kepada gadis Melayu yang sedang mengalunkan lagu"Selamat Pengantin Baru" di atas pentas yang telah dihias gah itu. Suaranya dialunkan sesuai lenggokan badan yang membutakan setiap mata yang memandang. Ramai pemuda kampung sudah hampir hilang "sabar" apabila terlihat akan susuk yang dilenggang-lenggokkan sesuai mengikut rentak lagu.

Atikah merasa puas apabila tepukan gemuruh diberikan selesai saja dia menyanyikan lagu tersebut. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyanyi sepanjang tempoh majlis itu berlangsung. Namun, dia tidak mungkin semudah-mudahnya "menjual" suaranya dengan harga semurah itu. Dia ingin penduduk kampung sendiri yang mencarinya. Dia ingin mereka mabuk rindu kerana terlalu ingin mendengar suaranya. Begitulah "mahalnya" suara Atikah.

*******************************************************************
Sejak dari kecil lagi, Atikah dan kakaknya hidup sebatang kara. Pemergian ibu serta ayah tercinta telah menjadikan hidup mereka berdua bagai rumput di tepi jalan. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup membantu mereka berdua. Hidup melarat dan merempat sehinggalah pada suatu hari apabila Atikah mula menyanyi di kelab-kelab dangdut bagi menanggung hidupnya serta kakak tercinta. Sejak dari hari itu, nama Atikah mula dikenali ramai. Bukan senang untuk mencari seorang penyanyi yang cukup "pakej". Bak kata orang kampung " Rupa ada, suara pun ada. Two in one. Memang sempurnalah!"Tetapi, segala-galanya berubah apabila Atikah berpindah ke bandar. Baginya, hidup di kampung terlalu merugikan. Orang yang cantik dan berbakat sepertinya tidak patut disimpan saja di kampung itu. Oleh itu, dia berpindah ke bandar untuk mencuba nasibnya di sana. Mencari kerja di bandar agak sukar kerana bukan seorang sahaja gadis cantik yang mempunyai suara sepertinya.

Di bandar, ada ramai perempuan sepertinya. Malah, lebih cantik dan lebih berbakat daripadanya. Oleh itu, Atikah sudah cukup berpuas hati andai ada hotel-hotel yang sanggup memanggilnya untuk menyanyi pada malam-malam yang istimewa. Tidak kurang juga kelab-kelab ekslusif yang ingin mengupah Atikah. Upah yang dia dapat daripada "menjual suaranya"di tempat-tempat seperti itu sudah cukup untuk membuatkan dia hidup bagai permaisuri di bandar.


*******************************************************************


Duduk seminggu di kampung sudah cukup untuk membuatkan Atikah berasa lemas. Lemas dengan suasana kampung yang serba kekurangan. Lemas dengan pemuda-pemuda di kampung yang asyik mengganggunya. Lemas dengan keadaan rumah kakaknya yang panas dan sempit. Dia ingin segera pulang, namun tidak pula dia sanggup meninggalkan kakaknya seorang diri menghadapi hari-hari awalnya sebagai isteri orang. Biarlah dia mengalah dengan egonya dan duduk di kampung untuk seminggu lagi.

***********************************************************************


Cahaya mentari yang terik serta menghangatkan memaksa Atikah keluar untuk mencari tempat yang lebih sejuk dan selesa. Atikah segera melangkah keluar. Agak perlahan langkahnya. Dilihatnya satu-persatu rumah yang telah terbina sekian lama di kampung itu.

Semuanya masih cantik dan setiap satunya mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Hanya itu sajalah yang menarik perhatiannya di kampung. Rumah-rumah orang kampung yang kebanyakannya masih mengekalkan rekaan serta tradisi lama.

Masih dia teringat bagaimana dahulu dia dan kakaknya juga punya rumah seperti itu. Rumah kecil, tetapi penuh  kehangatan dan kasih sayang. Rumah kecil yang sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dia dan ibunya. Rumah kecil tempat dia dan kakaknya diasuh serta dibesarkan.

Tetapi, semuanya itu tidak kekal lama. Kemalangan ngeri yang telah meragut nyawa ayah serta ibu tercinta meninggalkan dia dan kakaknya dengan seribu kepayahan sehingga rumah itu akhirnya terpaksa dijual untuk menampung hidup mereka berdua. Setelah itu, mereka menumpang kasih di rumah mak ciknya yang juga tinggal di kampung itu. Sehinggalah dia berpindah ke bandar dan kakaknya kini pula sudah berumah tangga.

Tiba-tiba, matanya tertancap ke arah suatu susuk yang amat menarik. Sangat cantik sehingga seorang perempuan sepertinya pun boleh tertawan. Inikan pula lelaki. Susuk yang sedang termenung sendiri di bawah pohon rendang itu didekatinya. Rasanya, wanita muda itu hanya beberapa tahun sahaja tua darinya.

" Assalamualaikum, Kak....", sopan sekali Atikah menegur wanita cantik yang kelihatan begitu tenang itu.
Wanita itu memandangnya sekilas lalu tersenyum. Manis. Manis sekali senyuman itu.

" Suaranya pasti lebih manis daripada itu.", itulah tanggapan Atikah pada kali pertama dia melihat wanita itu.

Wanita itu masih tersenyum. Pandangannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada langit Ilahi yang terbentang luas di depan matanya. Langit itu ditenung sejenak. Kemudian kedua-dua telapak tangannya diangkat dan ditadahkan menghadap langit yang luas itu. Ada rintihan kecil datang daripada wanita tersebut. Diiringi linangan air mata yang semakin hebat bercucuran. Kemudian, wanita tersebut menjadi semakin tidak terkawal. Kakinya dihentak-hentak kemudian dia bersujud di atas tanah. dicium-ciumnya bumi tempat sujudnya itu.

Atikah yang sedari tadi duduk di sisi wanita itu segera angkat kaki. Dia tidak mahu lagi berlama-lamaan di situ. Perihal wanita itu sungguh menakutkannya. Tidak ubah seperti orang-orang gila yang dia jumpa di bandar. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis tidak tentu hala. Ada pula waktu-waktunya mereka mengganggu orang lain yang lalu-lalang di kawasan tersebut.

" Gila agaknya perempuan ni. Takda angin, takda ribut, tiba-tiba saja menangis. Menakutkan betul! Dekat kampung yang tenang macam ni pun ada jugak orang gila rupanya....", Atikah terus-menerus merungut di dalam hati. Boleh trauma kalau dia masih lagi mahu duduk di tempat itu sambil melayan kerenah perempuan yang menakutkan itu.

*******************************************************************
" Kak, tadi Ika keluar jalan-jalan keliling kampung. Ika jumpa seorang perempuan ni. Cantik orangnya, Kak. Baya-baya akak jugak. Tapi, dia.....dia macam tak betul je...",  Atikah yang lebih selesa dengan panggilan Ika segera mengkhabarkan kepada kakaknya mengenai kejadian yang menimpanya hari itu.


" Owh. Rumah dekat hujung kampung itu ke? Isma. Isma namanya. Dia dulu pun macam kau. Pandai menyanyi. Orangnya pun memang sudah cantik. Banyak sekali pemuda kampung ini yang ingin mengambilnya sebagai isteri. Tetapi, semua ditolaknya....", sambil bercerita, kakaknya masih terus melipat baju yang sudah berlonggok di hadapannya. Atikah mendengar dengan penuh teliti. Dia masih menunggu untuk cerita yang selanjutnya.


" Kau tahu-tahulah kan... Perempuan cantik macam tu, mana mungkin nak berdampingan dengan lelaki yang miskin macam pemuda-pemuda dekat kampung ni. Semua pinangan yang datang dia tolak. Pinangan dari anak Tok Imam pun dia tolak tau",  perhatiannya kini ditumpukan sepenuhnya kepada cerita yang bakal disampaikan. Kain baju yang dilipat tadi ditinggalkan seketika.


*******************************************************************


Imran. Imran anak Tok Imam. Imran yang memang terkenal dengan sifat sopan dan merendah diri. Pernah juga suatu ketika dahulu Atikah tergila-gila akan pemuda itu. Namun, perasaan itu cepat sahaja berlalu seiring waktu. Kini, citarasanya sudah jauh berubah. Dia lebih selesa bermesra-mesraan dengan anak-anak Datuk yang datang ke kelab-kelab di bandar untuk mendengar nyanyiannya.

Atikah memang pandai sekali "berlakon". Apa sahaja pekerjaannya di bandar, langsung tidak pernah diketahui oleh kakaknya. Satu-satunya yang diberitahu adalah dia menjadi penyanyi"part time" di hotel-hotel mewah. Kerja-kerja "part time" yang lain ada baiknya disembunyikan sahaja.

Begitulah pendapat Atikah. Dia tidak mahu kakaknya naik angin apabila mendapat tahu bahawa dia masih lagi menyanyi di kelab-kelab dangdut yang dipenuhi oleh lelaki-lelaki gatal yang penuh helah. Helah licik yang telah banyak menghancurkan gadis-gadis muda yang cantik seperti Atikah. Tetapi, tidak pula Atikah pernah takut dengan semua itu. Asalkan pandai berhati-hati, pasti tidak ada apa-apa akan berlaku. Atikah memang seorang yang "optimistik" sekali.

*************************************************************************
Sekali lagi wajah kakaknya ditatap. Dia tidak puas hati mendengar cerita yang masih tergantung. Kakaknya menarik nafas panjang seketika. Bagai orang yang hendak berenang lagaknya.

" Entah mengapa. Suatu hari, dia bangun dari tidur seperti biasa. Kau nak tahu apa terjadi? Suaranya. Suaranya sudah tiada. Maksud akak, hilang! Hilang macam itu saja. Ada yang cakap, dia jadi macam tu sebab terkena buatan orang. Almaklumlah, banyak yang berdendam dengannya. Satu, sebab dia cantik. Satu lagi, sebab pinangan budak-budak kampung ni banyak yang dia tolak.

Tapi, akak tak percayalah ada orang yang sanggup nak "buatkan" dia sampai jadi macam itu sekali. Kata orang-orang tua yang lain, itulah padahnya kalau suara tu "dijual" merata-rata". Tatkala itu juga, sebuah pandangan tajam diberikan kepada Atikah yang kelihatan sedikit terkejut.

" Ika.... Akak dah lama suruh kau berhenti menyanyi kan? Tapi, akak tak nampak seperti kau nak berhenti pun. Akak kahwin hari itu pun kau yang beria-ia nak menyanyi. Kau tahu kan , Ika? Suara ini seperti apa bagi kaum perempuan? Suara kita ni berharga Ika.Aurat! Salah jadinya kalau dilenggok-lenggokkan sehingga menarik perhatian kaum lawan jenismu. Kau tengoklah sendiri apa dah jadi dengan Isma. Sejak dari hari itu dia terus jadi macam tu. Hari-hari tenung langit sambil menadah tangan. Lepas itu menangis-nangis dan merintih -rintih tak tentu hala. Akak tak tahulah dia tadah tangan nak minta ampun pada Allah atau nak minta suara dia dikembalikan.Tapi, apa yang akak nak beritahu kau sekarang ni, hargailah anugerah yang ada pada kau ni. Bukan semua orang ada anugerah macam kau. Suara yang merdu dan menawan ni sepatutnya kauperdengarkan kepada orang yang layak sahaja. Tak lain, tak bukan, suami kau, Ika.Akak tak larang kalau kau nak menyanyi waktu kau sorang-sorang dekat rumah ni. Biar akak yang dengar. Tapi, tolonglah berhenti, Ika. Tolonglah berhenti "menjual" suara kau dekat luar tu buat santapan lelaki-lelaki lain. Akak tahu, mungkin ini saja cara kau nak cari rezeki. Tapi, kalau dah salah caranya, rezeki yang kau dapat pun tak berkat. Tak berkat, Ika.Akak tak nak kau dapat azab nanti kerana suara kau ni. Akak sayang kau Ika. Jangan sampai suara kau pun ditarik balik macam si Isma tu.......", perlahan sekali nada suara kakaknya. Dia cuba menasihati adiknya dengan cara yang penuh lembut dan berhikmah, agar mudah masuk di kepalanya nanti. Agar diingati dan disematkan terus di dalam hati.

*******************************************************************
Sudah 2 tahun berlalu. Ika tidak menyanyi lagi. Pakaian serta penampilannya kini pun sudah berubah sama sekali. Dia sudah bertaubat. Sejak mendengar kisah mengenai Isma, Ika menjadi takut sekali. Takut akan azab Allah nanti. Sungguh dia tidak mahu menerima balasan buruk seperti Isma.

Masih dia ingat dahulu bagaimana dia diserang demam panas dan batuk-batuk sehingga tidak dapat bersuara selama 3 hari. Hidupnya pada waktu itu sungguh tersiksa. Rasa seperti hendak meraung-raung.

Lihatlah. Untuk kehilangan suara selama 3 hari pun dia sudah tidak sanggup. Apalagi untuk kehilangan suaranya buat selama-lamanya seperti Isma. Pasti dia juga akan menjadi gila. Mugkin lebih teruk dari itu. Bila terlihat akan artis-artis yang menyanyi di televisyen, Atikah teringat akan dirinya.

Dahulu, dia juga seperti itu. Berpakaian serba cantik dan bergaya. Cuma, dia tidaklah pernah muncul di televisyen seperti artis-artis tersebut. Walaupun begitu, permintaan terhadap suara merdunya tidak kurang hebatnya.
Kadangkala, sehingga dia tidak sempat untuk menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Jangankan 5 waktu, 1 waktu pun kadang-kadang tidak lepas. Begitulah sibuknya dia "menjual suara" sehingga dia lupa sama sekali pada Allah.

Belum lagi dihitung-hitung dosanya setiap kali dia cuba menggoda lelaki-lelaki kaya dengan suaranya yang manja dan lembut. Belum lagi dihitung-hitung panggilan telefon dia jawab dengan suara yang lembut dan manja. Apabila ditanya oleh teman serumah, "boyfriend"katanya. Ya, "boyfriend." Bercakap dengan 'boyfriend" mesti berlembut-lembut. Itu tanda sayang.

Teman serumah pula hanya mampu beristighfar panjang setiap kali terdengar akan suara-suara halus Atikah melayan lelaki-lelaki yang tidak putus-putus menghubunginya. Walau sehingga 3-4 pagi sekalipun. Berlinangan air matanya tatkala dia teringat akan dosa-dosanya yang lalu.

*******************************************************************


" Ika......" bisik suara itu di suatu malam yang tenang.

" Boleh nyanyi untuk Abang tak? Satu lagu saja. Ika ni..Kalau dalam tandas, rajin je meraung-raung dan bersenandung. Siap bersyair lagi Abang dengar. Tapi, dekat depan Abang, satu lagu pun tak pernah Ika nyanyi. Abang cemburu dengan tandas tu. Lain kali, kalau Ika masuk tandas, biar Abang teman je. Dapatlah juga menumpang kasih tandas tu untuk dengar suara Ika yang manis rupawan ni...."Ika hanya tersenyum manis apabila mendengarkan lawak yang sungguh mencuit hatinya itu. Diberikan satu cubitan manja kepada susuk yang sedari tadi asyik membuat dia ketawa.

Imran terus-terusan membuat lawak. Senang hatinya melihat isteri tercinta tersenyum gembira. Ika yang datang hampir setiap hari ke masjid untuk belajar mengaji telah berjaya menarik hatinya. Ika yang selalu berjumpa ibunya untuk mempelajari perihal serta hukum-hukum agama terus dia ambil menjadi isterinya.

Kini, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai suami untuk mendidik Ika. Dia sendiri yang akan membimbing Ika. Dia sendiri yang akan memimpin tangan Ika ketika mereka sama-sama menuju ke syurga nanti. Atikah, Wanita bersuara merdu yang kini dia sekat alunannya untuk diperdengarkan hanya kepada dia yang layak.


0 comments:

Post a Comment