Wednesday, 23 January 2013

SaLam MauLiDuR RaSuL

Edit Posted by MissShyShy with 1 comment
Assalamualaikum dan Salam 1 ummah ~

 Ketibaan Maulidur Rasul semakin hangat terasa. Meskipun bukanlah hanya ketika tibanya hari keputeraan Rasulullah kita wajib mengingati baginda, tetapi kehadirannya semakin meningkatkan ingatan dan cinta yang sentiasa tersemat di hati. Di sini saya ingin berkongsi sebuah video yang sering membuatkan pipi ini basah setiap kali menghayatinya. Di harap ada juga dapat merasai perkara yang sama. InsyaAllah..



SAAT-SAAT KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W
Daripada Ibnu Mas’ud r.a., bahawasanya dia berkata: “Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a
Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.”
“Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”
Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila.”
Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Salah seorang ahli bait.”
Kami bertanya: “Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.”
Kami bertanya: “Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.
Kemudian baginda bersabda: “Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”
SEMAKIN TENAT
Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:
“Assalamualaikum ya Rasulullah?”
Kemudian dia berkata lagi: “Assolah yarhamukallah.”
Fatimah menjawab: “Rasulullah dalam keadaan sakit.”
Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi.
Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk,
Rasulullah saw bersabda: “Saya sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.”
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw.
Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?”
Siti Fatimah menjawab: “Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka.”
Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.
Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: “Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.”
MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU
Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.
Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata: “Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!”
Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: “Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.”
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?”
Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: “Siapakah yang ada di muka pintu itu?”
Fatimah menjawab: “Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.”
Rasulullah saw bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia?”
Fatimah menjawab: “Tidak wahai baginda.”
Lalu Rasulullah saw menjelaskan: “Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.
Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Masuklah, wahai Malaikat Maut.”
Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan: “Assalamualaika ya Rasulullah.”
Rasulullah saw pun menjawab: “Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?”
Malaikat Maut menjawab: “Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan pulang.”
Rasulullah saw bertanya: “Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?”
Jawab Malaikat Maut: “Saya tinggal dia di langit dunia.”
Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.
Maka bersabdalah Rasulullah saw: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?”
Jibril menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.”
KETIKA SAKARATUL MAUT
Seterusnya Rasulullah saw bersabda: “Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?”
Jibril pun menjawab: “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.”
Baginda saw bersabda: “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?”
Jibril menjawab lagi: “Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”
Baginda saw bersabda lagi: “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?”
Jibril menjawab: “Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.”
Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku.”
Jibril a.s. bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?”
Rasulullah saw menjawab: “Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”
Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.”
Maka berkatalah Rasulullah saw: “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku.”
Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.
Ali r.a. bertanya: “Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?”
Rasulullah menjawab: “Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.”
Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.”
Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.
Lalu Rasulullah saw bertanya: “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?”
Jibril menjawab: “Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat baginda yang sedang merasakan sakitnya maut?”
Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw.

kisah seorang pengemis

“Wahai saudaraku, jangan engkau dekati Muhammad. Dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir. Apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya.” kata seorang pengemis Yahudi yang buta di suatu sudut pasar Madinah al-Munawwarah.
Ungkapan tersebut dilontarkan oleh si pengemis yang cukup benci dengan Baginda s.a.w. Setiap saat, pengemis itu tidak henti-henti menghamburkan kata-kata kesat tersebut di hadapan semua yang mengunjungi pasar itu. Berbeza pula dengan tindakan Baginda s.a.w. Setiap pagi, Baginda s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata walau sepatah pun, Rasulullah s.a.w. menyuapi makanan ke mulut pengemis itu. Rutin harian Rasulullah s.a.w ini dilakukan sehinggalah menjelang ajal Baginda s.a.w.
Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, maka tiada lagi orang yang menyuapi makanan kepada pengemis tersebut sebagaimana kebiasaan. Bersendiri si pengemis tanpa ada yang menemaninya untuk merasa sesuap makanan.
Suatu hari, Abu Bakar r.a, mengunjungi rumah anaknya Aishah.
“Wahai anakku, masih adakah lagi sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?” tanya Abu Bakar.
“Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunnah. Hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan melainkan satu sunnah sahaja.” ujar Aisyah menjawab pertanyaan ayahnya.
“Apakah itu?” tanya Abu Bakar.
Aisyah menjawab pertanyaan ayahnya, “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawa makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana.”
Keesokan harinya Abu Bakar r.a. ke pasar tersebut dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a. mendatangi pengemis itu lantas memberi makanan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuap makanan kepada pengemis tersebut, si pengemis marah sambil berteriak,
“Siapakah kamu?”
“Aku orang yang biasa” ujar Abu Bakar membalas pertanyaan si pengemis.
“Bukan! engkau bukanlah orang biasa yang mendatangiku. Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya. Setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri”
Pengemis itu melanjutkan perkataannya berkenaan orang yang biasa menyuapinya kepada Abu Bakar r.a.
Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air mata kerinduannya terhadap Rasulullah s.a.w. Abu Bakar r.a. menangis sambil berkata kepada pengemis itu,
“Aku memang bukan orang yang biasa datang menyuapimu makanan. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya. Orang mulia yang selalu berbuat baik kepadamu itu telah tiada. Dia adalah Muhammad, utusan Allah s.w.t.”
Abu Bakar r.a. menceritakan perkara yang sebenarnya kepada si pengemis.
Setelah mendengar cerita Abu Bakar r.a., pengemis tersebut sambil menangis berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia.” Selepas meluahkan segala kekesalannya, pengemis Yahudi tersebut akhirnya melafazkan syahadah di hadapan Abu Bakar r.a.
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
(Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabrani dan Bukhari)
Sesungguhnya budi pekerti yang baik dan sempurna itu hanyalah ada pada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w. walaupun cukup mengetahui pengemis buta itu selalu menghamburkan kata-kata yang menghina Baginda s.a.w., Baginda s.a.w tetap memperlakukan pengemis tersebut dengan akhlak yang baik dan terpuji.
Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita seharusnya mengambil pengajaran di sebalik kisah kasih yang telah ditunjukkan oleh Baginda. Walaupun kita tidak mampu untuk mengikuti keseluruhan sunnah Baginda s.a.w, tidak alasan untuk kita tidak berusaha meneladani sedikit sebanyak sunnah Baginda s.a.w.



1 comment:

  1. hye.! singgah sini + nak komen ni..
    Salam Maulidur Rasul..
    suke bace entry ni.. =)


    free tak.?? jom join satu segmen..

    http://fasyrah89.blogspot.com/2013/01/hanif-idrus-giveaway-2013-segmen.html

    if tanak join takpe.. tapi drop komen la kt situ ya.! =) boleh kan.??

    thx.! =))

    ReplyDelete